Panel Pertama

KAEDAH PENGINTEGRASIAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

GURU

Guru menggunakan teknologi

Guru hendaklah digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran. Guru boleh membentuk suatu proses pengajaran supaya murid dapat memahami sesuatu konsep dengan guru mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam bentuk yang boleh dan mudah difahami oleh murid. Suasana pembelajaran akan lebih bermakna dengan mengintegrasikan teknologi di dalam pengajaran apabila guru telah mempunyai kesediaan dan pengetahuan mengenai teknologi yang akan digunakan. Oleh itu, guru perlu memberi perhatian dan peka terhadap bagaimana teknologi itu dapat digunakan dengan berkesan di dalam kelas.       
        Selain itu, guru juga dapat meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia di samping bahan pengajaran sedia ada.  Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan menggunakan bahan seperti visual grafik, teks, muzik, video, dan animasi. Bahan-bahan teknologi ini dapat mengukuhkan lagi kefahaman murid terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru supaya murid berpeluang untuk meneroka, mencari bahan rujukan, pengajaran, dan juga latihan atas talian. Melalui portal-portal pendidikan seperti VLE Frog, Prezi, dan Scribd, guru dapat menggunakan laman ini sebagai bahan pengajaran di dalam kelas.

Guru sebagai tutor dalam penggunaan teknologi

Guru berperanan sebagai tutor dalam penggunaan teknologi di dalam bilik darjah. Sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran dimulakan, guru hendaklah mempunyai perancangan yang rapi dalam merangka penggunaan teknologi yang sesuai, mudah, dan berkesan untuk diterapkan dalam sesuatu isi kandungan pelajaran. Pembinaan dan penggunaan bahan pembelajaran berasaskan teknologi juga perlu lebih menekankan aspek multimedia dan interaktif bagi memberikan kesan yang lebih mendalam kepada murid supaya mereka berminat menggunakan bahan multimedia di dalam pembelajaran.                 
Selain itu, dengan bimbingan guru kepada murid dalam pengintegrasian teknologi dalam kelas, murid didedahkan dengan kemudahan-kemudahan teknologi yang membolehkan murid dan guru saling berkongsi maklumat seperti perkongsian multimedia teks, grafik, audio, video, dan animasi. Secara tidak langsung, guru telah menggalakkan murid-murid menggunakan kemudahan teknologi ini dalam tugasan-tugasan yang diterima serta membincangkannya pada sesi luar waktu kelas. Oleh itu, guru pada masa kini hendaklah meningkatkan tahap penerimaan dan menguasai penggunaan teknologi sebelum mengaplikasikannya ke dalam kelas.


Guru menggunakan teknologi sebagai alat demonstrasi

Guru berperanan dalam menyampai dan memastikan maklumat diterima oleh setiap murid. Justeru itu, aktiviti pembelajaran  menggunakan teknologi  maklumat merupakan salah satu kaedah berkesan untuk menyampaikan kandungan pengajaran. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, murid-murid dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut kaedah pembelajaran yang menarik minat mereka. Pengintegrasian teknologi juga menyediakan kebolehan interaktiviti yang boleh merangsang pemikiran kognitif mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Oleh itu, aktiviti pembelajaran yang dijalankan merangkumi demonstrasi oleh guru dalam penggunaan teknologi seperti melayari laman sesawang berkaitan pelajaran, latihan kawalan oleh web berteraskan pendidikan, dan pembelajaran ekspositori. Sebagai contoh, penggunaan perisian aplikasi umum seperti Microsoft Word, Movie Maker, MacroMedia Flash adalah conton perisian yang memerlukan kemahiran dan mudah untuk dikuasai. Oleh itu, guru haruslah menunjukkan beberapa contoh dan demonstrasi penggunaan perisian ini sebelum digunapakai oleh murid-murid dan memastikan mereka memahami langkah serta diberi manual yang lengkap penggunaannya. Kaedah pembelajaran ini memerlukan guru menilai setiap perisian yang hendak digunakan dan sesuai sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran serta memastikan peralatan ICT berada dalam keadaan lengkap dan baik supaya proses  sesi berjalan dengan lancar.

MURID

Murid menggunakan teknologi

Golongan muda pada masa kini lebih terdedah kepada teknologi baru. Murid-murid di sekolah juga merupakan generasi muda yang telah didedahkan dengan pelbagai alat teknologi  daripada persekitaran mereka. Oleh itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah juga haruslah seiring dengan kecanggihan teknologi  yang boleh diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di sekolah. Banyak kelebihan yang boleh diperolehi dengan pengintegrasian teknologi di sekolah. Antaranya ialah, perubahan fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan murid. Kaedah pembelajaran sebegini perlu diberi perhatian terutamanya  bagi memastikan murid boleh menguasai kemahiran menggunakan alat teknologi mereka dalam penerapan pembelajaran.

Penerokaan teknologi oleh pelajar

Melalui penerokaan dalam bidang teknologi, murid  mudah untuk memperoleh pelbagai pengetahuan dan maklumat yang lebih meluas di samping sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Murid juga dapat meningkatkan kecemerlangan akademik dengan meneroka ilmu pengetahuan tanpa sempadan.  Elemen yang penting dalam mengintegrasikan teknologi adalah penerimaan murid dalam isi pengajaran dan implikasi berhubung teknologi. Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan murid untuk mengeksplorasi dan mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Sebagai contoh, portal-portal pendidikan sama ada tempatan atau luar negara dapat memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada murid mengenai sesuatu mata pelajaran.

Pelajar mengaplikasikan teknologi


Kaedah pembelajaran berpusatkan murid ini membenarkan mereka mengalas tanggungjawab dan peranan yang lebih proaktif, bekerjasama dengan rakan-rakan, kepelbagaian bahan-bahan pembelajaran, serta merasai pengalaman belajar dan kemahiran menilai yang boleh dimanfaatkan sepanjang hayat. Cara ini akan menjadikan mereka lebih fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan proses penerokaan dan penemuan. Pengintegrasian teknologi dalam pembelajaran ini bukan sahaja menarik untuk dikuasai, malah murid-murid juga boleh menyiarkan hasil kerja mereka serta bahan-bahan yang telah digunakan di dalam internet. Proses penyiaran melalui internet adalah lebih cepat dan tidak menggunakan kos yang banyak berbanding menggunakan kaedah tradisional.  Hasil kerja murid boleh disiarkan ke internet supaya dapat menjadi rujukan seluruh dunia dapat membaca di samping membuat penilaian terhadap sesuatu pengajaran yang dibangunkan. Kreativiti dan inovasi seseorang murid juga secara tidak langsung  dapat ditonjolkan. Penyebaran maklumat secara global ini juga dapat menaikkan lagi nama sesebuah sistem pendidikan lokal.

No comments:

Post a Comment